SEMBAHYANG

Hukum

1. Tiang agama - Sembahyang adalah tiang agama. Rasulullah s.a.w bersabda "Islam tertegak atas lima rukun; bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad s.a.w adalah hambanya dan RasulNya, mendirikan sembahyang, membayarkan zakat, mengerjakan haji dan puasa pada bulan Ramadhan" (Bukhari dan Muslim)

2. Garis Pemisah - Sembahyang merupakan pembeza diantara Islam dan kafir. Rasulullah s.a.w bersabda "Batas antara seorang Muslim dengan seorang kafir adalah meninggalkan sembahyang" (Tabrani)

3. Hisab yang pertama - Amalan yang pertama yang dihisab ialah sembahyang sepertimana sabda Rasulullah s.a.w "Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dihisab bagi setiap hamba yang Muslim pada hari kiamat adalah sembahyang fardhu. Bila sembahyang sempurna maka sempurnalah seluruh amalnya. Bila sembahyang tidak sempurna, maka dilihat akan sembahyang sunatnya, apabila ia memiliki sembahyang sunat, maka kekurangan sembahyang fardhunya akan disempurnakan dengan sembahyang sunat. Kemudian hal yang demikian itu akan berlaku juga untuk amalan wajib yang lain"(Tarmizi, An-Nasa'i dan Ibn Majah)

Hikmah dan Rahsia Sembahyang

1. Ubat bagi gangguan jiwa - Sembahyang yang dilaksanakan dengan wudhu' yang baik, dilaksanakan pada waktunya dan disempurnakan rukun serta khusyuk, ianya akan merupakan rawatan bagi jiwa, iaitu mendapat keampunan Allah s.w.t.

2. Senaman Jasmani - Pergerakan dalam sembahyang mengandungi senaman jasmani yang menghasilkan kesihatan kerana sembahyang memerlukan pergerakan tubuh.

3. Pembinaan Disiplin Diri - Sembahyang pada waktunya akan melatih seseorang mengurus masa. Wudhu' pula melatih diri supaya menjaga kebersihan dan kesucian tempat, pakaian dan hati.

4. Mewujudkan ketenangan - Seseorang yang menjaga sembahyangnya akan merasakan ketenangan dan terhindar daripada gelisah dan dukacita.

5. Rasa Kesyukuran - Sembahyang merupakan tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t yang telah memberi banyak nikmat kepada manusia.

6. Lambang Peribadatan - Ia merupakan lambang utama peribadatan yang merangkumi keseluruhan gerakan batiniah dan zahir.

7. Menjernihkan Hati - Melalui bacaan Qur'an, zikir dan doa dalam sembahyang dengan khusyuk dan ikhlas akan menjernihkan hati manusia.

8. Mendapat keampunan Allah s.w.t - Sembahyang yang sempurna akan mendapat keampunan Allah dan mendapat balasan yang baik dari Allah sepertimana firman Allah yang bermaksud; "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, maka mereka itulah yang mendapat pahala disisi Tuhan mereka dan tiada perasaan takut pada diri mereka dan mereka pun tidak akan bersedih hati"(Surah Al Baqorah 277)

Kelebihan Sembahyang

1. Mendapat pertolongan Allah s.w.t - " Dan carilah pertolongan dengan sabar dan sembahyang" (Al Baqorah : 45)

2. Jaminan syurga - Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Allah berfirman, Hai Muhammad! Aku telah mewajibkan lima kali sembahyang sehari semalam bagi umatmu. Aku telah berjanji dengan diriku barangsiapa mengerjakan sembahyang pada waktunya, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Umatmu yang tidak menjaga sembahyangnya tidak termasuk dalam perjanjian ini" (Ahmad, Abu daud, An Nasa'i dan Ibn Hibban)

Kelebihan Sembahyang Jemaah

1. "Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,"Sembahyang berjemaah itu lebih utama daripada sembahyang bersendirian dengan selisih sebanyak dua puluh tujuh darjat"(Muslim)

2. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang berwudhuk sempurna untuk mengerjakan sembahyang, lalu berjalan menuju masjid dan melakukan sembahyang berjemaah, atau dalam masjid, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya" (Muslim)

Nota : Ini adalah sebahagian kecil sahaja. Sila rujuk kitab-kitab yang berkaitan untuk mendapat lebih maklumat.

Kembali Ke Muka Utama